Program Usahawan Perantis (SPACE) galak pelajar berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
Kuching : Program Usahawan Perantis (SPACE 3.0) 2024 anjuran Kementerian
Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui CEDAR SME Bank
menyasarkan penglibatan 150 orang pelajar tahun akhir menuntut di IPTA/IPTS/ILKA.
Program ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membudayakan keusahawanan dalam
kalangan mahasiswa selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN)
2030.
Bagi Kumpulan 03, seramai 19 orang peserta telah menghadiri program yang
berlangsung pada 19-21 September 2024 bertempat di Hotel Kuching Park, Kuching,
Sarawak. SPACE 3.0 dirangka khusus untuk memberikan latihan keusahawanan kepada
pelajar IPT dan ILKA termasuklah daripada golongan B40 dan OKU yang telah
mengoperasikan perniagaan atau yang berminat untuk memulakan perniagaan.
Sepanjang 3 hari tersebut, peserta diberikan pendedahan tentang modul-modul intensif
perniagaan seperti Kanvas Model Perniagaan, Rancangan Perniagaan, Pengurusan
Kewangan, Pemikiran Reka Bentuk, Pemasaran Digital dan Pembentangan Perniagaan
yang disampaikan oleh tenaga pengajar CEDAR.
Setelah peserta mengikuti sesi latihan bersama pelatih secara buddy system,
mereka dikehendaki untuk membentangkan pelan perniagaan mereka dihadapan 3
orang juri pada hari terakhir program. Lebih menarik perhatian, seramai 50 peserta
daripada 150 yang hadir akan dipilih untuk mengikuti sesi bimbingan lanjutan secara
dalam talian pada bulan Oktober nanti. Sesi ini merupakan peluang keemasan bagi
peserta terpilih untuk mengukuhkan lagi kemahiran keusahawanan mereka dalam
memulakan atau memajukan perniagaan. Para peserta yang berjaya menamatkan sesi
bimbingan ini bakal menerima geran bernilai RM 3,000 sebagai modal permulaan
perniagaan.
Program ini menyaksikan penglibatan pelajar yang telahpun memiliki perniagaan
sendiri dan mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan.
Melalui program ini, penulis memperoleh sungguh banyak ilmu baharu berkenaan dunia
perniagaan serta berkesempatan untuk mendengar perkongsian dan pengalaman
peserta lain dalam menempuh cabaran perniagaan. Idea-idea perniagaan yang
dijalankan termasuklah produk makanan dan minuman (F&B), perkhidmatan
kecantikan, tuisyen, perniagaan elektronik, perniagaan set alat permainan dan
sebagainya. SPACE 3.0 merupakan inisiatif strategi jangka panjang kerajaan dalam
meningkatkan kebolehpasaran graduan, melahirkan usahawan baharu untuk menjana ekonomi negara, dan memperkasa kemahiran keusahawanan dalam kalangan
mahasiswa.
Lantaran kurangnya penglibatan peserta di zon Sarawak, pelajar universiti
amatlah digalakkan untuk menyertai program SPACE pada tahun mendatang untuk
mempelajari ilmu keusahawanan selain menambah kenalan dan rakan niaga baharu.
Sebagai kata penutup, penulis menyeru kepada para pelajar diseluruh Malaysia agar
sentiasa merebut peluang mempelajari kemahiran baharu seperti keusahawanan bagi
meningkatkan nilai tambah dan kompetensi diri supaya menonjol di pasaran kerja serta
dapat membangun jaringan profesional dalam dunia pekerjaan. Jangan sesekali takut
untuk keluar daripada zon selesa kerana setiap ilmu dan pengalaman yang diperoleh
merupakan aset yang tidak ternilai dalam meniti pancaroba kehidupan.
Ulasan
Catat Ulasan