1. MUKADIMAH - MyBrainSc KPT
Mungkin khabar yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar pra-universiti mahupun universiti merupakan hebahan permohonan antara biasiswa yang paling berprestij di Malaysia yakni MyBrainSc dibawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT). Biasiswa ini menyasarkan kepada seluruh pelajar warganegara Malaysia yang sedang atau bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda (Bachelor Degree) dan Ijazah Pasca Sarjana (Master Degree & PhD/Doctoral) dalam bidang SAINS TULEN seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik. Untuk pengetahuan korang, biasiswa ini terbuka bukan hanya khusus kepada para penuntut universiti awam (IPTA) malahan juga kepada para pelajar yang menuntut di universiti swasta (IPTS) serta universiti terkemuka antarabangsa. Dikutip daripada laman rasmi Biasiswa MybrainSc, objektif utama pelaksanaan biasiswa berprestij ini adalah untuk mencapai matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara serta menghasilkan para ilmuan sains bertaraf global. Biasiswa ini juga bertujuan untuk menghasilkan para graduan sains yang mapan dan cemerlang untuk direkrut sebagai tenaga pengajar pada masa hadapan. Untuk maklumat lanjut berkenaan biasiswa MyBrainSc, sila layari laman sesawang mereka pada pautan https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrainSc. Namun pada coretan kali ini, saya hanya ingin berkongsi berkenaan pengalaman saya memohon biasiswa MyBrainSc.
1.1 Bagaimana/dari mana saya tahu biasiswa ini wujud ?
Dijadikan cerita, sebenarnya saya sudah mengetahui biasiswa MyBrainSc semasa saya belajar di Asasi dan ketika itu saya berada di pertengahan tahun pengajian Asasi Sains. Ketika itu ada ada rakan menyebarkan iklan pembukaan permohonan biasiswa ini. Pertama kali mengetahui biasiswa ini, saya berasa amat teruja dan tertarik untuk memohonnya. Namun disebabkan beberapa alasan, saya tidak sempat melakukan proses permohonan biasiswa tersebut, iaitu disebabkan saya masih belum memperoleh dokumen lengkapy yakni slip gaji ibu bapa untuk dimuatnaik ke laman web pihak KPT. Alasan kedua ialah saya mengalami dilema dimana saya masih ditahap memutuskan sama ada ingin meneruskan pengajian dalam bidang Fizik, Matematik atau Sains Komputer. Untuk bidang Sains Komputer sebenarnya tidak layak untuk memohon biasiswa ini kerana ia hanya dikhususkan untuk pengajian dalam bidang Sains Tulen sahaja.
2.Permohonan Biasiswa MyBrainSc 2022
2.1 Sarjana Muda Sains Fizik 2021 .
Akhirnya, setelah melalui segala dilema dan pertimbangan dan introspeksi yang kritis, saya memutuskan untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang Sains Fizik di Universiti Malaya pada tahun kemasukan Oktober 2021. Ketika itu saya merupakan mahasiswa baru semester pertama. Saya mula memohon biasiswa MybrainSc pada bulan Mac 2022. Selalunya pihak KPT akan membuka permohonan pada bulan Mac/April, jadi jangan lupa untuk kerap berkunjung ke laman web mereka untuk memastikan tarikh pembukaan permohonan baharu. Apabila saya telah mengetahui permohonan MybrainSc sudah dibuka, saya tidak melepaskan peluang ini untuk memohon biasiswa berprestij ini.
2.2 Langkah-langkah sebelum dan sewaktu melakukan permohonan.
Langkah pertama ialah pastikan anda melakukan penyelidikan tidak kiralah biasiswa apapun yang hendak dipohon. Maklumat-maklumat seperti kriteria umum dan khusus pemilihan calon penerima biasiswa harus dibaca dengan teliti dan difahami. Jikalau ada perkara yang tidak difahami, para pemohon bolehlah menghubungi pihak biasiswa yang berkaitan untuk maklumat lanjut. Untuk biasiswa MyBrainSc, para pemohon boleh dengan mudah memperoleh maklumat tersebut di laman web rasmi KPT https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrainSc/ . Selain itu, saya juga menggalakkan anda untuk membaca manual pengguna yang tertera pada laman web mereka dan juga memuat turun borang yang menjelaskan tentang perjanjian biasiswa, kadar elaun dan sebagainya agar anda lebih jelas tentang apa yang ditawarkan oleh biasiswa ini. Setelah anda memastikan kelayakan dan syarat-syarat biasiswa dan tertarik untuk memohon biasiswa ini, anda bolehlah ke laman web mereka dan 'LOG MASUK' sebagai pengguna baharu. Disini, anda perlulah ikut arahan yang diminta oleh sistem termasuklah memuatnaik dokumen berkaitan. Dalam hal ini, pemohon seharusnya sudah menyediakan dokumen penting seperti salinan kad pengenalan, tawaran masuk universiti, transkrip keputusan SPM, pra-universiti dan/atau keputusan semester 1 sarjana muda, slip gaji ibu bapa dan sebagainya. Pihak KPT akan memberi waktu sebulan setelah waktu pembukaan permohonan untuk menyelesaikan proses permohonan. Jadi dalam jangka waktu itu, pastikan semua dokumen penting yang diperlukan sudah lengkap untuk dimuatnaik ke portal MybrainSc.
2.3 Seusai proses permohonan, buat apa lagi ?
Langkah seterusnya ialah hanya tunggu sahaja lah ! Pihak KPT akan memaklumkan anda melalui e-mel yang anda gunakan semasa permohonan sama ada anda layak untuk ke tahap seterusnya atau sebaliknya. Untuk pengetahuan anda, apabila anda layak ke tahap seterusnya, anda akan melalui tahap ujian psikometri pula. Lepas dalam ujian psikometri pula anda bakal melalui tahap terakhir yakni temuduga. Oleh hal yang demikian, bersiap sedia sahaja lah manatahu anda bakal lolos ke tahap seterusnya kan ?
3.Ujian psikometri
Semasa saya memohon biasiswa ini bagi sesi 2021, saya hanya perlu menunggu waktu lebih kurang sebulan untuk melalui ujian psikometri dari tarikh akhir permohonan. Mereka akan mengirimkan anda e-mel yang menjelaskan tentang waktu dan tarikh anda bakal menjawab ujian psikometri beserta panduan mengakses soalan ujian tersebut. Namun anda juga boleh memperoleh panduan menjawab ujian psikometri di laman web rasmi mereka seterusnya klik 'Muat Turun Borang' dan seterusnya klik muat turun pada 'PANDUAN MENJAWAB SISTEM UJIAN PSIKOLOGI ' atau disini : https://biasiswa.mohe.gov.my/MyBrainSc/doc/PANDUAN%20MENJAWAB%20SISTEM%20UJIAN%20PSIKOLOGI%20ONLINE%202021.pdf.
3.1 Sedikit perkongsian tentang ujian psikometri.
Saya rasa kebanyakan pelajar sudah tahu apakah itu ujian psikometri kan ? Mungkin semasa kelas bimbingan dan kaunseling semasa sekolah dahulu anda sudah terdedah dengan ujian psikometri. Secara ringkasnya, ia merupakan ujian yang tiada salah dan benar. Ujian psikometri dilakukan untuk menilai personaliti, minat anda dalam sains dan aspirasi anda kedepannya. Itu sahaja. Mungkin disisi pihak KPT, mereka mempertimbangkan beberapa lagi kriteria dalam diperoleh daripada hasil ujian psikometri untuk memutuskan sama ada anda layak ke peringkat terakhir yakni tahap temuduga atau tidak. Soalan yang ditanyakan sangat lah mudah dan ia merupakan soalan yang melibatkan personaliti dan minat anda dalam bidang sains.
4. Proses Temuduga .
Proses temuduga calon merupakan klimaks bagi saringan para pelajar yang benar-benar layak menerima tajaan MyBrainSc. Lebih kurang dua bulan saya harus menunggu panggilan temuduga dimaklumkan melalui e-mel daripada tarikh saya menjawab ujian psikometri. Ketika itu merupakan cuti semester 1 dan saya masih ingat pengalaman saya menjalani proses temuduga MyBrainSc secara atas talian di perpustakaan berdekatan rumah.
4.1 Suka duka semasa temuduga atas talian.
Beberapa hari sebelum proses temuduga dijalankan, saya telah dimaklumkan lebih awal oleh pihak KPT berkenaan tarikh dan masa temuduga akan berjalan. Temuduga boleh jadi dijalankan secara fizikal mahupun atas talian bergantung kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak KPT. Namun waktu saya, temuduga dijalankan secara atas talian, lebih spesifik melalui aplikasi Google Meet. Ketika hari temuduga telah tiba, disaat itu saya dilanda dengan cabaran dimana elektrik telah padam. Menunggu sehingga beberapa jam, elektrik belum pulih dan nampaknya saya harus mencari tempat lain, iaitu perpustakaan untuk melakukan proses temuduga pada jam 1 petang (lebih kurang).
4.2 Apakah yang bakal ditanya oleh panel penemuduga ?
Pihak MybrainSc akan menyediakan pautan Google Meet yang memuatkan 4 orang pelajar yang akan ditemuduga oleh sama ada 1 atau 2 penemuduga. Ketika itu, saya ditemuduga oleh dua oranng pensyarah kanan. Setiap para pelajar akan berpeluang untuk disoal oleh penemuduga. Jadi pastikan anda menjawab soalan dengan tepat dan ringkas. Soalan-soalan yang diajukan seperti pengenalan diri, cara untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara, cara untuk menjadikan proses pengajaran Sains lebih menarik dalam kalangan pelajar sekolah dan pelajar ditanya untuk menyatakan satu nama penerima Nobel Fizik dan sumbangannya dalam bidang apa. Soalan yang ditanya merupakan soalan-soalan asas pengetahuan umum yang seharusnya diketahui oleh pelajar Sains dan bukanlah soalan yang bersifat teori dan pengetahuan spesifik.
5. Akhir kata
Pihak MyBrainSc akan mengumumkan para pelajar yang layak untuk dinobatkan tajaan biasiswa ini sebulan setelah temuduga. Saya amat bernasib baik dan bersyukur kerana menjadi salah satu yang berhasil melepasi semua saringan dan seterusnya layak menerima tajaan biasiswa yang berprestij ini.
5.1 Biasiswa adalah satu tanggungjawab
Saya beranggapan bahawa biasiswa ini bukanlah suatu pemberian tajaan yang cuma-cuma namun merupakan suatu tanggujawab seorang pelajar untuk menggunakan elaun/tajaan biasiswa ini dengan betul. Hal ini kerana biasiswa yang diberikan itu merupakan hasil negara yang didapatkan melalui cukai yang dibayar oleh tiap-tiap rakyat Malaysia. Maka, secara tidak langsung biasiswa ini adalah duit rakyat kepada para pelajar dan seharusnya digunakan dengan baik dan bermanfaat. Bukan itu sahaja, setiap penerima biasiswa negara seharusnya bersyukur kerana tidak perlu lagi susah-susah untuk menggunakan instrumen pinjaman lain kerana tugas anda adalah belajar untuk dapatkan ilmu, pengalaman dan mencapai keputusan cemerlang setiap semester kelak berkhidmat untuk kemajuan negara. Oleh itu, ingatlah tanggungjawab dan tugas seorang penerima biasiswa negara (Duit rakyat). Sampai sini sahajalah coretan saya kali ini tentang pengalaman saya memohon biasiswa MyBrainSc KPT. Sekian.
Ulasan
Catat Ulasan