Falsafah Bunga Seroja (Lotus) dan Rahim seorang ibu - Apa kaitannya dalam hidup? | Falsafah | Pandangan | Pengalaman


Pernah nampak tak bunga seroja, atau lebih dikenali sebagai lotus? Kadang-kadang orang sebut bunga ni bunga teratai. Namun, jangan silap sebab bunga lotus dan teratai sedikit berbeza walaupun kedua-duanya tanaman air dan kelihatan serupa. Salah satu perbezaan ketaranya ialah bunga lotus dan daunnya tumbuh tegak diatas air manakala bunga teratai dan daunnya pula terapung diatas air. Selain itu ada perbezaan pada bentuk kelopak bunga lotus dan teratai. Kedua-dua jenis bunga mempunyai warna yang pelbagai seperti putih, ungu, biru dan pink (merah jambu). Bunga lotus yang nampak indah dan cantik bagi saya ialah yang warna pink!



Bunga ni sebenarnya sejenis tumbuhan akuatik maksudnya, dia hidup di kawasan berair seperti kolam, tasik dan paya. Menariknya, lotus bukan tumbuhan sebarangan; ia tumbuh subur di kawasan tropika dan subtropika Asia termasuklah India, China, Thailand, dan juga Malaysia. Kalau di Jepun dan Vietnam, bunga ini malah dijadikan simbol ketenangan dan kesucian. Dari jauh, kelopak bunganya yang berlapis-lapis nampak lembut, tapi batangnya yang panjang dan berakar di dasar lumpur menunjukkan tanaman ini kuat dan lasak! 

Ironinya, tanaman lotus boleh tumbuh dikawasan kotor tapi tetap boleh mekar di permukaan dengan indah, cantik dan megah. Bayangkan walaupun persekitaran yang sangat toksik sekalipun, lotus tidak peduli dan tetap tumbuh cantik! Wowww~

Namun, apa yang menjadikan lotus  ni begitu istimewa bukan sekadar rupanya yang cantik, tapi falsafah disebaliknya. Lotus melambangkan kebangkitan dan ketenangan yang lahir dari kekusutan dunia. Ia tumbuh dari lumpur, tapi lumpur itulah yang menyuburkan dirinya. Dalam erti kata lain, kesusahan dan kegelapan hidup bukanlah penghalang untuk kita jadi indah dan menunjukkan potensi kita yang sebenarnya. Setiap kali bunga ini mekar di atas air, seolah-olah ia hendak beritahu kita: “Kebersihan hati tidak bergantung di mana anda tinggal dan dari mana anda berasal, tapi pada cara anda bertumbuh dan bertahan.” Yaa, begitulah lotus!

Kalau difikirkan lebih mendalam, falsafah Lotus ini sebenarnya agak sinonim dengan sesuatu yang jauh lebih istimewa yakni rahim seorang ibu. Dalam rahimlah setiap kehidupan bermula, dalam ruang yang gelap, lembap dan tertutup. Dunia pertama seorang insan adalah didalam rahim ibu! Disinilah kita 'intern' selama 9 bulan sebelum menerjah dunia yang penuh pancaroba. Disitulah juga benih manusia mendapat perlindungan paling sempurna malahan tempat yang paling selamat daripada rumah yang kita sedang diami! Disinilah juga benih manusia memperoleh makanan yang paling sedap dan mengenyangkan. Sama seperti Lotus yang tumbuh dari lumpur, seorang manusia juga tumbuh dari tempat yang sederhana namun kasih ibu-lah menjadikannya suci dan berharga. Rahim itu seperti kolam suci kehidupan — tempat setiap janin dibentuk dan dijaga dengan sabar dan kasih yang tak ternilai.

Dari sini, kita nampak kaitan yang indah antara bunga Lotus dan rahim ibu. Dua simbol yang berbeza tapi membawa makna yang sebenarnya serupa : Kesucian, Ketabahan dan Keindahan (3K) yang lahir daripada kegelapan. Dari sini kita belajar bahawa Lotus belajar menjadi tabah dan gagah daripada persekitarannya yang kotor manakala manusia pula belajar didalam rahim ibu sebelum dilahirkan! Dalam budaya Timur, Lotus dikaitkan dengan pencerahan dan keseimbangan batin. Dalam konteks manusia pula, rahim ibu ialah lambang asal-usul kasih dan pengorbanan. Bila dua makna ini digabungkan, kita faham bahawa perjalanan hidup manusia bukan tentang mengelak dari “lumpur,” tapi bagaimana kita tetap mekar walaupun berada di dalamnya.

Falsafah ni jugalah yang boleh kita bawa dalam kehidupan seharian. Dunia hari ini memang penuh dengan kekotoran — bukan lumpur fizikal, tapi “lumpur” ketidakadilan, kekejaman dan kejahatan. Kadang-kadang kita rasa lemas dengan semua tu, tapi sebenarnya di situlah ruang untuk kita bertumbuh. Kita belajar untuk kuat, untuk sabar dan akhirnya untuk mekar  bukan kerana hidup kita sempurna, tapi sebab kita memilih untuk jadi Lotus dalam dunia yang keruh dan penuh tipu-tipu.

Jadi, bila anda nampak bunga Lotus yang terapung tenang indah di atas air, ingatlah, di bawahnya ada akar yang bergelut dalam lumpur, tapi dia tak pernah biarkan lumpur tu menentukan keindahannya. Sama juga macam hidup kita: kita mungkin datang dari tempat yang tak sempurna, melalui ujian yang menyakitkan, tapi itu tak menghalang kita untuk jadi cantik, bermakna dan membawa cahaya. Sebab akhirnya, setiap manusia adalah Lotus yang tumbuh dari rahim kasih seorang ibu dan terus belajar mekar dalam dunia yang tak selalu indah.


JADILAH SEPERTI LOTUS



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

SIAPA SEBENARNYA SOCRATES DAN KENAPA BELIAU SANGAT BERPENGARUH? | PERKONGSIAN FALSAFAH

Perkongsian Pengalaman Belajar Sarjana Muda Sains Fizik di UM Selama 7 Semester | Fizik UM | Pengalaman | Cerita

My 3-Day Journey at the Program Usahawan Perantis (SPACE 3.0) in Kuching, Sarawak | Story | Experience | Journey | Entrepreneurship